Ada satu hari tu, aku lepak minum dengan Dhani dan Alep dekat Kedai Bunian. Kedai Bunian ni apasal nama dia Kedai Bunian, lain kali laa aku cerita. Kasi aku cerita benda lain dulu.
Dekat Kedai Bunian masa tu tengah tayang iklan konsert reunion AF yang semua sekali 9 musim tu. Iklan tu cakap, inilah masanya untuk anda lepaskan kerinduan anda terhadap Akademi Fantasia, lebih kurang macam tu.
Aku geleng kepala sambil hirup kopi. Ada lagi ke orang nak pergi tengok Akademi Fantasia ni?
5 saat kemudian. Alep dan Dhani turut geleng kepala sambil menghirup air masing-masing. Jenis tiru. Tak terfikir pergerakan lain ke? Huh.
"Ah, ko geleng-geleng kepala, kutuk-kutuk AF pun, ko tak habis-habis jugak dengan Azza ko tu", kata Dhani.
"Entah, sikit-sikit Azza AF, sikit-sikit Azza mata kucing.", sambung Alep pula.
Aku senyum. Lepas tu aku hirup air lagi sikit. Sambil nyalakan rokok, aku tenung muka dua ekor itu bergilir-gilir. Mereka nampak teruja mahu mendengar jawapan balas daripada aku.
"Budak AF lain ko nak kutuk, ko kutuk lah. Tapi Azza, jangan.", aku cakap sambil hembus asap rokok ke tengah meja lalu asap itu pun hilang ditiup angin malam.
"Kenapa?", pertanyaan itu keluar serentak dari mulut dua ekor tersebut.
"Mula-mula sekali aku nak kasitau, aku back up Azza ni, tak ada kena mengena langsung dengan status dia sebagai jiran aku. Hal dia suka angkat kain jemuran pakai boxer tu pun takda kena mengena. Yang sebenarn......*tenenet*", penerangan aku terhenti di situ.
"Yang sebenarnya apa?", celah Dhani, pantas.
"Ko boleh sabar tak? Kasi laa aku balas bbm ni dulu.", aku jawab tegas sambil berkerut dahi balas bbm.
Selesai membalas bbm, aku pun sambung.
"Yang sebenarnya, Azza AF ni kalau ko nak tau, dia lah student AF yang paling power! Sebab apa power? Sebab dalam ramai-ramai pelajar AF tu, yang sampai 9 season tu, kalau 1 season ada 12 student, ko darab dengan 9, ada seratus lebih tu, dia lah yang mula-mula sekali jadi artis. Dia yang paling senior. Pasal apa? Pasal dalam sejarah Akademi Fantasia, dia lah orang pertama yang tersingkir. Tersingkir awal, jadi artis awal la, kan? Haa power ke tak power?"
Alep dan Dhani serentak mengangguk, tanda bersetuju dengan aku bahawa Azza AF adalah power!
Selepas itu kami pun pulang ke rumah masing-masing dengan hati yang puas.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
kenapa bunian?
Post a Comment