December 29, 2011

Misteri Kedai Bunian

Ada satu malam tu, aku telah mendapat satu sms daripada Alep. Dia ajak aku pergi minum.

Dengan pantas, aku pun pergi ambik dia dekat rumah.

Biasanya, kalau malam-malam macam ni, kami akan melepak di restoran kegemaran kami iaitu Wadi Al-Farooq. Tapi disebabkan bulan cerah dan langit merah pada malam itu, kami pun membuat keputusan untuk menukar selera minum kami. Daripada air tangan seorang mamak, kami mahu rasa air tangan seorang siam membancuh air pula. Maka setelah berbincang lebih kurang sehingga habis sebatang rokok, kami pun berhenti di sebuah restoran siam yang terletak tidak jauh dari pandangan mata kami.

Suasana restoran ini kalau tengok dari dalam kereta, nampak macam happening. Tapi sekali dah turun, rasa scary jugak sikit-sikit. Ruang makan yang luas, tetapi orang tak ramai. Bagus jugak macam ni. Tenang. Sedap sikit aku nak bersembang dan mengumpat tanpa risau orang table sebelah curi-curi dengar.

Setelah duduk lebih kurang 30 saat, seorang makwe siam pun datang ambik order.

"Kopi O satu, kak", aku order.

Dia tulis atas kertas sambil jeling aku. Aku tak jeling balik pasal aku tengah balas bbm sambil kerut dahi masa tu.

"Neskepe ais satu", Alep pulak order.

Dia tulis atas kertas lagi.

"Makan?", dia tanya.

"Tak!", serentak kami jawab tegas.

Dia pun berlalu ke dapur dengan muka ketat. Barangkali dia menyesal melakukan catatan pada kertas tersebut sedangkan dia dengan senang saja boleh menghafal pesanan seringkas itu. Jenis buat dulu baru berfikir. Bongok.

Setelah 2 minit 34 saat menunggu, akhirnya air yang kami pesan pun tiba. Kebetulan masa tu ada tayang cerita kung-fu dekat TV3, maka kami pun menikmati minuman kami dengan hati yang girang. Setelah cerita kung-fu habis, siaran bola pula berkumandang. Kami bertambah riang, lalu kami order air lagi segelas sorang.

Setelah habis siaran bola, barulah aku sedar, rupa-rupanya hanya kami berdua saja pelanggan yang tinggal di restoran itu. Semua pelanggan lain entah bila balik aku tak sedar langsung.

Namun begitu, kedai siam ini masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu tutup pun. Lampu semuanya terpasang. Meja semua tak angkat. TV semua tak tutup lagi. Yang paling power, tukang masak dia kat dapur tak berhenti-henti masak dari tadi. Padahal dah pukul 4 pagi. Dah laa tak ada orang selain aku dengan Alep je.

Perkara ini mendatangkan persoalan kepada aku dan Alep. Sebenarnya dia tayang bola tadi, untuk kami tengok ke? Dia tak angkat meja ni, ada orang lain duduk ke? Tukang masak dia tak berhenti masak, bagi siapa makan? Peh, tak masuk akal, tak masuk akal.

Setelah berfikir panjang, kami pun membuat kesimpulan bahawa selain daripada kami pada malam itu, kedai itu turut dipenuhi dengan pelanggan dari keturunan...bunian!

"Kak kira ni kak!", laung Alep pada makwe siam tadi dengan lancar, pantas, dan senafas saja. Lalu kami pun berjalan ke kereta tak pandang belakang dah.

2 comments:

asip محمد said...

ok sekarang dah paham bunian.. kenapa Wadi Al-Farooq?

Wadi AR said...

wadi al-farooq juge?

Powered By Blogger