October 14, 2010

the uneXplained files #3 : kesetiaan tak berbelah bagi.

"Aku lebih suka melihat dark side dalam sesuatu perkara.", kata Kamaruzzaman sambil membetulkan bunga plastik yang berterabur gubahannya di atas meja itu. "Aku tahu kau tak faham. Bunga ini contohnya, walaupun cantik menghias meja, tapi pernah kau fikir, apa jadi kalau pasu bunga ni pecah, kemudian berterabur ke atas lantai, lalu kau terpijak kaca, dan luka kau merebak disebabkan kau ada kencing manis? Pernah fikir?", sambung Kamaruzzaman lagi sambil bertanya sedikit soalan kepada Fred.

"Gila deep lu ni Kamaruzzaman. Tapi agak-agak lah kalau nak deep pun. Apa sampai ke situ lu fikir? Lu ada masalah dengan teman wanita ke apa ni? Masalah peribadi jangan dibawa ke tempat kerja", balas Fred cuba menenangkan Kamaruzzaman yang kelihatan sedang bermain dengan bayang-bayang yang dihasilkan oleh kupu-kupu yang terbang di bawah lampu.

Kamaruzzaman hanya diam, sambil memandang tepat ke dalam anak mata Fred. Sesekali dia menjeling ke arah tempayan berisi cuka di sudut rumahnya itu.

"Esok, ingatkan aku beli cuka, dah nak habis tu.", kata Kamaruzzaman memecah kebuntuan.

5 minit kemudian, Kamaruzzaman menarik nafas dalam-dalam. 10 saat tarik nafas, 10 saat tahan, 10 saat lepas. Diulangnya 3 kali berturut-turut sebelum bertanya kepada Fred, "Are you ready buddy? Are you ready to do this?", sambil menggenggam erat surat saman JPJ yang dilipatnya halus dengan tangan kirinya yang berurat.

Tanpa berkata apa, Fred mengangguk kepalanya beberapa kali tanda setuju. Walaupun ini bukanlah kali pertama dia melakukan kerja ini, namun hatinya tetap berdebar. Memang begitu pun setiap kalinya. Debaran, memang salah satu eleman penting dalam pekerjaannya. Bagi Fred, tanpa debaran, siapalah M. Night Shyamalan, pengarah kegemarannya itu.

*****

Malam itu, kecoh seluruh pekan Rawang, Selangor tentang kejadian 5 orang ibu mengandung di lokasi berbeza, mati akibat tumpah darah setelah diserang hantu penanggal.

Menurut saksi, sebelum kejadian, mereka ternampak 2 biji objek terbang yang kelihatan seperti cahaya putih, dipercayai penanggal tersebut sedang berlegar-legar di udara sambil menyanyikan lagu 'Kesetiaan Tak Berbelah Bagi' yang kerap dimainkan di stesen TV RTM satu masa dahulu sebelum siaran Berita Perdana.

No comments: